SUKAN MASUM 1 2008

VENUE: WATER SPORT COMPLEX PUTRAJAYA MALAYSIA
13 - 17 MAY 2008


Sebanyak 18 universiti seluruh Malaysia mengambil bahagian yang menyaksikan acara-acara rowing dan kayak dipertandingkan bagi kedua-dua kategori lelaki dan wanita. Pertandingan kali ini memihak kepada Universiti Teknologi Malaysia dengan menjuarai piala pusingan kategori lelaki dan wanita bg acara rowing. Manakala sukan kayak pula UTHM menggondol piala pusingan berdasarkan kutipan pingat yang paling banyak bagi acara lelaki & Kayak Wanita dimenangi oleh Universiti Malaya.

Acara kali ini juga memperlihatkan komitmen daripada sesetengah universiti yang mengambil inisiatif menghantar peserta-peserta ke kem-kem latihan seawal 2 minggu sebelum pertandingan. Bagi Universiti yang berada di sekitar Lembah Klang, latihan hujung minggu diadakan di 2 lokasi utama iaitu Kelab Tasik Putrajaya dan The Boathouse, Empangan Batu, Ulu Yam, Selangor.

Tidak ketinggalan juga pujian yang harus diberikan kepada UNIMAS atas kesungguhan pihak pentadbir membangunkan sukan rowing dengan pembelian bot-bot rowing kategori 4- (coxless four). Dengan kemudahan tersebut, saya meramalkan UNIMAS akan bangkit sebagai salah satu pencabar yang kuat dalam masa terdekat. Asalkan, perancangan latihan mengikut fasa-fasa tertentu dapat dibentuk oleh jurulatihnya.

Hasilnya, pertandingan kali ini memperlihatkan kemajuan di mana kelebihan dan kekuatan pasukan tidak dimonopoli oleh sesetengah universiti sahaja. Sejak bermulanya aktiviti rowing, Universiti Teknologi Malaysia (UTMKL khasnya) mengungguli acara rowing saban tahun dengan dicabar musuh tradisi Universiti Malaya sebagai saingan terdekat. Malahan, pengambilan atlit untuk mewakili negara kebanyakkannya diserap dari universiti berkenaan. Selain faktor lokasi & kemudahan yang disediakan berdekatan dengan lokasi kampus, presiden PERDAMA ketika itu adalah pegawai Belia & Sukan di UTMKL. Oleh sebab itu, perancangan & pembangunan atlit lebih tersusun. Melalui Tech's Rowing Club, rantaian atlit-atlit pelapis yang dibentuk tidak pernah terputus. Individu yang dimaksudkan sebagai Presiden PERDAMA ialah Encik Malek Abd Ghani bersama organisasi yang dibentuk atas dasar sukarelawan yang setia mendokong pembangunan sukan ROWING di tanah air.

Tahun ini, kebangkitan UTHM, USM dan UNIMAS memeriahkan persaingan sukan mendayung di kalangan mahasiswa & mahasiswi. Ini juga bagaikan petanda lebih banyak atlit-atlit berkualiti akan dilahirkan. Kemarau pingat sukan mendayung di persada antarabangsa mungkin berakhir tidak lama lagi.

Saya yang hadir sebagai pegawai teknikal dapat merasai bahang perubahan akan berlaku. Lebih-lebih lagi pertandingan UNITEN Rowing Invitation akan datang dijangka Ogos ini bakal mempamerkan lebih ramai jaguh-jaguh rowing di seluruh negara.

Harapannya adalah semoga gelombang semangat yang ditiup ke jiwa anak-anak muda ini akan terus dijana sehingga momentumnya memberi warna-warna baru pada wacana sukan di Malaysia. Dengan izin tuhan, usaha-usaha pembangunan tanpa jemu sukarelawan yang setia bernaung di bawah NGO ini akan dibalas dengan kejayaan mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.

Labels: