UNITEN ROWING 2008

Berita terkini, acara disahkan berlangsung di Putrajaya Water Sports Complex, Presint 6 pada 5hb hingga 10hb Ogos 2008. Jemputan ke pertandingan ini akan diedarkan ke institusi-institusi berkenaan. Oleh itu, di harap persediaan awal untuk latihan dapat dirancang.

Imbas kembali: Pembangunan Sukan Rowing peringkat Negeri
Berdasarkan kepada pengalaman-pengalaman yang lepas, kesinambungan sukan rowing tidak dapat diteruskan di peringkat negeri atas sebab kurangnya jurulatih berpengalaman & atlit yang konsisten. Program Klinik Rowing tahunan pernah di adakan mengikut zon-zon seperti berikut:

  1. Zon Timur (Kelantan, Terengganu & Pahang)
  2. Zon Selatan (Johor, Negeri Sembilan & Melaka)
  3. Zon Tengah (Perak, Selangor & Kuala Lumpur)
  4. Zon Utara (Penang, Kedah & Perlis)

Saban tahun, penyertaan atlit mengetengahkan muka-muka baru. Acapkali latihan terpaksa bermula dari peringkat asas. Fasa latihan tidak dapat dibentuk dengan sempurna. Disebabkan sukan rowing ini memerlukan masa untuk mengasah kemahiran, tumpuan tidak dapat diberikan bagi meningkatkan kecergasan dan stamina. Pada ketika itu, jika dapat mengimbangkan bot sesama crew dan mendayung ke garisan penamat sudah dianggap satu kejayaan. Tahap kemahiran berada di takuk yang lama.

Insentif perlawanan: Kekerapan perlawanan juga menjadi faktor di mana satu-satunya kejohanan adalah Regatta Rowing Kebangsaan. Tiada insentif perlawanan dapat diberikan memandangkan peruntukan kejohanan yang terhad. Namun itu bukanlah sebab utama kerana ganjaran boleh di cari melalui penajaan. Saya percaya PERDAMA cuba menerapkan nilai bahawa atlit tidak seharusnya mengejar kemenangan demi hadiah kewangan sahaja. Meski perkembangan sukan & atlit rowing tampak hambar dan lembap, namun di sebalik itu segelintir atlit yang dihasilkan mempunyai semangat jitu yang tinggi dan masih ingin meningkatkan kualiti sukan masing-masing.

Tetapi, berdasarkan feedback dari atlit tempatan kurangnya sokongan dari persatuan membantutkan usaha-usaha ini. Jika atlit ini mendapat 60% sokongan seperti projek gemilang 2001 bersama kerjasama MSN, pasti perubahan dapat dilihat. Faktor-faktor berikut dilihat sebagai penyumbang utama:

  1. Bimbingan latihan di gymnasium
  2. Pemakanan dan supplement tambahan
  3. Psikologi sukan : mental training

Jurulatih rowing tempatan sangat terlatih dan pakar dalam latihan di air dan ergometer. Tetapi, untuk membentuk stamina dan kekuatan badan, bantuan pakar dari MSN boleh membantu. Apa yang tidak disedari oleh atlit adalah tindakbalas dari tubuh mereka terhadap rintangan & latihan. Kesakitan, keletihan & kelesuan seringkali di abaikan keperluan untuk memahaminya. Respon tubuh terhadap sesuatu memberikan tanda samada badan dapat menerima latihan atau tidak. Sekiranya PERDAMA dapat memahami keperluan-keperluan ini, pastinya atlit gembira dengan perhatian yang diberikan.

Kembali kepada tajuk di atas, kita cuba bongkar apakah yang boleh membantu meningkatkan prestasi pasukan universiti anda?

  1. Ketua/Pengurus Pasukan: Bentuk kelab mendayung di universiti. Lantik seorang presiden kelab, setiausaha dan pengurus pasukan. Rancang aktiviti dan latihan persediaan. Kekalkan pasukan yang sama setiap kali kejohanan. Lantik muka-muka baru sebagai pelapis. Ini bukan sahaja meningkatkan jatidiri anda bahkan kepimpinan dan pengurusan berkesan anda dapat diuji.
  2. Kem latihan: Rancangkan aktiviti tahunan berdasarkan kepada kejohanan-kejohanan yang dianjurkan. Buat kertas cadangan dan bentangkan di hadapan pihak pentadbir. Adakan kem latihan sekurang-kurangnya selama 4 hari sebelum setiap perlawanan. Atau dengan lebih konsisten pada/setiap hujung minggu, adakan camping di Boathouse, Empangan Batu Ulu Yam bagi tujuan latihan ini. Kos penginapan dapat dikurangkan yang pastinya pihak pentadbiran universiti sukar menolak kertas cadangan anda melihatkan kesungguhan ini.
  3. Coxwain (jurumudi): Jurulatih-jurulatih yang cuba dihasilkan melalui kursus-kursus kejurulatihan kebangsaan kurang menyerlah disebabkan faktor pengalaman & mungkin komitmen. Tanpa minat & kesungguhan yang luar biasa, jurulatih-jurulatih ini tidak akan dapat berdepan dengan cabaran-cabaran dalam pembangunan sukan. Tidak dapat dinafikan juga, faktor elaun dan gaji menjadi penentu kesinambungan. Adakah anda perlu diiktiraf jurulatih untuk meningkatkan prestasi pasukan universiti anda? Ya, di sinilah peranan coxen @ coxwain menjadi penting. Jika anda seorang coxwain, peranan anda sangat penting! Masa latihan di air sangat terbatas. Disebabkan kemudahan bot yang sukar diperolehi berhampiran dengan tempat anda, masa harus dihargai sepenuhnya. Kenalpasti coxwain anda dan pastikan mereka terlatih secukupnya untuk membantu memperbaiki kemahiran crew masing-masing

Dari semasa ke semasa, saya akan mengemaskini perkara-perkara di atas. Sehingga kita berjumpa lagi!