Pandang ke depan - 18 minggu lagi!!!

MASUM 2009 telah lama berlalu, begitu juga Singapore Rowing International Championship semakin jauh meninggalkan kita. Uniten Rowing Invitational 2009 pula gagal direalisasikan kerana wabak melanda. Jadi, apa fikiran pendayung-pendayung universiti kala ini? Lega kerana tidak tertekan dengan latihan yang menuntut kekuatan jasmani sehingga meletihkan segala tulang, sendi dan otot? Lapang kerana tidak mendengar jeritan jurulatih supaya mengulang-ulang kemahiran asas & latih tubi sehingga beratus-ratus kali? Senang kerana saudara-saudari tidak perlu berperang dengan mental untuk menghadapi demam ujian ergometer 2000m atau demam pertandingan itu sendiri?

Saya percaya bagi segelintir mahasiswa di mana hati dan fikirannya sepusat sepusing cintakan sukan [sudah tentulah akademik #1] sudah mula rindukan bau rumput di padang. Sudah mula terdengar-dengar riuh rendah teman-teman bersenda gurau ketika rehat sejenak untuk makan semasa latihan. Terbayang-bayang bola di kaki lantas apa sahaja yang muncul di hujung kaki disepak dan ditimang. Bagi pendayung pula, sudah terasa berbuai-buai di dalam bot ketika duduk di dalam kelas. Kemudian sempat membetulkan kasut dan memeriksa rigger setting. Bagi yang kronik, ketika berjalan ke dewan kuliah pun sempat mempraktiskan gerakan tangan yang betul ketika mendayung bot scull tanpa menghiraukan pandangan orang yg kehairanan. Mula menghantar sms kepada anak-anak kapal (crew boat) dimana titik pertemuan setelah habis kuliah. Bukan untuk dating, minum-minum dan lepak. Bila cuaca mula redup, matahari mula condong ke barat, beg kasut digalas berisi tuala kecil dan botol air melangkahkan kaki ke gimnasium. Sudah ada program latihan menanti yang wajib dipenuhi. Sudah ada matlamat di kepala untuk disasarkan. Strength & Endurance!!! Tolong jangan lupakan regangan badan @ stretching.

Varsity Boat Race 2009 menanti diikuti pula oleh South East Asia Roing Championship di Pattaya 18 minggu lagi. Setiap orang punya peluang dan ruang. Setiap pergerakan diteliti dan dinilai. Setiap usaha dipuji dan bakal diuji nanti. Persiapkan mental dan fizikal. Ada perkara di dalam kawalan, ada juga perkara diluar kawalan. 18 minggu ini masih didalam kawalan anda. Gunakan sebaiknya. Take Charge! Take Control!