Perubahan Kronobiologi & Aspek Pemakanan Semasa Ramadan

oleh RAZALI MAKHTAR ( razali@isn.gov.my)

Ramadan merupakan bulan kesembilan dalam kalendar Hijrah Islam. Semua Muslim di seluruh dunia diwajibkan menunaikan ibadah puasa selama sebulan (29 atau 30 hari) di bulan yang mulia ini.

Puasa (fasting) bermaksud menahan diri daripada makan dan minum serta perbuatan-perbuatan yang boleh membatalkan puasa di siang hari dalam tempoh yang tertentu. Rutin berpuasa bermula daripada waktu terbitnya matahari (sunrise) sehingga terbenamnya fajar Siddiq di waktu senja (sunset). Tempoh berpuasa di sesebuah negara adalah berbeza-beza bergantung kepada faktor geografi (lokasi) dan musim sepanjang tahun. Di negara tropikal, rutin berpuasa adalah diantara 11-18 jam sehari, berbeza-beza mengikut musim. Di Malaysia, tempoh berpuasa adalah sekitar 14 jam sehari. Rutin berpuasa yang dijalani mempengaruhi proses metabolik dan fisiologi tubuh kita. Kajian menunjukkan bahawa tempoh berpuasa yang panjang, contohnya melebihi 15 jam sehari mampu mengembalikan aras glukosa dan insulin dalam darah ke tahap basal (basal level)1.

Corak Pengambilan Makanan di Bulan Ramadan
Berdasarkan pengertian puasa, Muslim tidak dibenarkan mengambil sebarang makanan dan minuman di sepanjang tempoh berpuasa. Secara tipikalnya, terdapat dua waktu makan utama ketika dalam tempoh berpuasa, iaitu berbuka (breaking fast) dan bersahur. Tidak terhad kepada dua waktu makan utama tersebut sahaja, Muslim juga mengambil makanan diantara waktu berbuka dan waktu bersahur, dan kebiasaanya makanan yang diambil dalam tempoh ini berbentuk snek seperti kuih muih dan buah-buahan.

Jelasnya tabiat dan amalan pemakanan di bulan Ramadan adalah berbeza berbanding bulan-bulan yang lain dan ini sangat dipengaruhi oleh faktor budaya dan tabiat pemakanan tempatan sesebuah negara. Di bulan Ramadan, Muslim kebiasaanya mengambil makanan pada dua waktu makan utama (berbuka dan bersahur) sahaja berbanding tiga waktu makan utama (sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam) di bulan-bulan biasa. Selaras dengan pengurangan satu waktu makan utama di bulan Ramadan, kajian mendapati bahawa kekerapan pengambilan makanan dan minuman di sepanjang bulan Ramadan adalah lebih rendah dan Muslim lebih cenderung memilih makanan dan minuman yang tinggi kalori berbanding bulan-bulan biasa2.

Walaupun pada dasarnya Muslim tidak dibenarkan mengambil sebarang makanan dan minuman ketika tempoh berpuasa di siang hari, namun jumlah pengambilan makanan (tenaga) harian di bulan ini tidak semestinya lebih rendah jika dibandingkan dengan bulan-bulan biasa. Sesetengah kajian mendapati bahawa jumlah pengambilan tenaga harian di bulan Ramadan adalah lebih tinggi3-5 dan kajian-kajian lain mendapati lebih rendah6-8 dan sesetengahnya pula menunjukkan tiada perubahan yang signifikan5,13 berbanding bulan-bulan biasa.

Pengambilan karbohidrat dalam diet harian ketika berpuasa didapati lebih tinggi berbanding pengambilannya di bulan-bulan biasa7,12, namun ada juga kajian menunjukkan pengambilan makronutrien tersebut semasa berpuasa adalah lebih rendah berbanding diet normal8,13. Pengambilan protein3,13 dan lemak2,13 juga didapati meningkat dalam diet berpuasa berbanding dengan diet normal.

Corak Pengambilan Cecair (Air) di Bulan Ramadan

Jumlah pengambilan air harian semasa bulan Ramadan di kalangan individu aktif8 dan individu sedentari9,10 adalah lebih rendah berbanding bulan-bulan biasa. Kajian mendapati di negara-negara beriklim panas dan kering seperti Sudan dan Tunisia, pengurangan jumlah pengambilan air adalah pada tahap maksima pada minggu ketiga Ramadan dan seterusnya kembali normal pada hujung bulan Ramadan9. Jelasnya, memang tidak dapat dinafikan bahawa tubuh kita mengalami kekurangan air (dehidrasi) sepanjang tempoh berpuasa, namun tiada bukti yang kukuh untuk menyatakan dehidrasi berlaku pada tahap yang kronik. Maka menurut kajian, dehidrasi yang berlaku sepanjang tempoh berpuasa tidak mendatangkan sebarang kesan yang merbahaya terhadap kesihatan hasil daripada keseimbangan cecair tubuh negatif (pengambilan cecair kurang daripada pengeluaran cecair) yang dihasilkan semasa bulan Ramadan11.

Kesan Berpuasa terhadap Komposisi Tubuh
Banyak kajian yang dijalankan memberikan keputusan yang berbeza-beza berkaitan perubahan komposisi tubuh individu yang berpuasa. Dalam aspek berat badan, sesetengah kajian mendapati berat badan individu berpuasa menurun2,8,14 semasa Ramadan berbanding bulan-bulan biasa. Kajian lain pula menunjukkan peningkatan berat badan3,15,16 dan sesetengahnya menunjukkan tiada perubahan signifikan5,13,17 berbanding bulan-bulan biasa.

Peratusan lemak tubuh juga menunjukkan penurunan yang signifikan manakala jisim tubuh tanpa lemak (JTTL) didapati tidak berubah semasa Ramadan jika dibandingkan dengan bulan-bulan biasa8. Kajian yang lain pula menunjukkan pola penurunan berat badan semasa berpuasa berbanding sebelum Ramadan, kemudian berat badan meningkat kembali selepas tamat berpuasa.

Banyak kajian telah dijalankan bagi mengkaji kesan Ramadan ke atas aspek pemakanan dan proses fisiologi tubuh manusia. Namun hasil kajian didapati tidak konsisten diantara satu sama lain dan ini banyak dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti perbezaan dari aspek metodologi kajian, kedudukan geografi sesebuah negara, budaya dan tabiat pemakanan tempatan, komposisi makanan serta gaya hidup masyarakat sesebuah negara. Maka, kajian-kajian lanjutan adalah perlu dijalankan bagi memantau sebarang perubahan proses fisiologi ke atas aspek kesihatan semasa Ramadan.

Labels: ,