Monday, May 24, 2010

MASUM 2010 - KEMENANGAN BERMAKNA

Segala jerih perih terbayar. Setiap titik peluh dan darah yang tumpah ke bumi terbalas. Setahun penantian berakhir dengan memanjatkan doa penuh kesyukuran. Sememangnya benar-benar memberi makna.

Sungguhpun begitu, tidak bermakna laluan selepas ini semakin mudah. Bahkan lebih getir. Semangat yang meruntun jatuh berkeping-keping pasti akan bangkit semula sepertimana yang berlaku ke atas kami. Setelah sekian lama di pundak kejayaan, dijatuhkan dalam sekelip mata. Kekalahan menjadi pengajaran yang cukup berkesan tika itu. Sukarnya untuk kembali merampas apa yang terlepas dari tangan. Melihatkan fizikal lawan, siang-siang mental anak-anak sudah goyah.

Untung kami punya jurulatih yang tidak jemu-jemu mendokong. Coach Hadi begitu tekun memastikan anak-anak punya peluang, punya ruang. Sedikit demi sedikit tembok pertahanan dibina bagi mengatasi segala ketidakyakinan. Maklumlah, jurulatih separuh masa. Kami saling sandar-menyandar dan membantu setakat yang mampu. Untung anak-anak dayung ini memang sudah berdikari. Punya kapten dan presiden yang sentiasa berusaha memastikan program yang direncana dilaksanakan sebaik mungkin. Tidak lupa juga ibu-ibu kecil yang kuat berleter menguruskan teman-temannya.

Satu pengalaman baru setiap kali kejohanan seperti ini. Selalu ada kejutan. Saingan kini tidak hanya didominasi antara dua universiti sahaja iaitu UTM & UTHM. UIA sudah mula menunjukkan taring dengan menjulang emas bagi acara M4+. Srikandi UMS juga kian menyerlah walaupun jurulatihnya selalu khuatir akan emosi atlet wanitanya. UNITEN juga punya fizikal yang mantap. UDM juga menunjukkan potensi di awal pembabitan dengan segala peralatan baru.USM juga bikin goyang.

UiTM pula membariskan atlet yang punya stamina tinggi. Rata-rata atlet adalah anggota PALAPES. Saya menjangkakan mereka semua berupaya ke peringkat akhir. Namun hanya acara M4+ yang melepasi jangkaan. Ternyata, mereka belum cukup pengalaman dalam perlumbaan di samping kekurangan peralatan berbanding universiti lain. Masih menggunakan macon blade untuk berlumba.

Ada drama yang menarik ketika perlumbaan. Apabila M8+ UTM dan UTHM sah masuk ke kumpulan semi final yang bakal diisi oleh 2 lagi universiti. Universiti-universiti lain berusaha mengelak daripada bertembung dengan 2 ekor gergasi ini. Ketika perlawanan repearcharge, UM dan UNITEN mendayung bahu ke bahu enggan menamatkan perlumbaan di tempat pertama. Kerana kedudukan pertama repearchage akan bertemu UTM & UTHM sekaligus peluang nipis ke peringkat akhir. Kamu patut lihat gelagat mereka di finishing line. Sungguh melucukan.

Ada satu pasukan yang membuat diri saya sangat kagum. USIM. Universiti Sains Islam Malaysia. Pencapaian mereka sederhana. Jarang berjaya ke final. Namun mereka tidak pernah patah semangat mengambil bahagian. Saban tahun mereka hadir dan memberikan saingan. Sayang, mereka tidak punya jurulatih yang dapat membantu meningkatkan prestasi. Insya' Allah, jika ada ruang dan waktu kami akan membantu pasukan ini. Selama universiti-universiti lain berlatih di empangan batu, tidak ada istilah kedekut ilmu. Atlet-atlet yang berpengalaman rajin memberikan tunjuk ajar dan dorongan. Tanyalah UIA. Di samping jurulatih Acap, atlet-atlet lama tidak lokek berkongsi pengalaman kerana kagum dengan kesungguhan mereka turun berlatih lebih awal.

UTHM, satu pasukan yang tetap digeruni semalam, kini dan masa depan. Kesal juga bila mengetahui tentang ayat "menghina profesionalisme pengadil dan juri pertandingan?" Namun memahami keinginan untuk menang yang kuat itu boleh menerbitkan unsur-unsur emosi yang kurang disenangi. Inilah pelajaran yang kami dapat. Bahawa ada perkara berlaku di dalam kawalan kita. Ada juga perkara yang berlaku di luar kawalan. Cara mana kita mengendalikannya, terpulang pada budi bicara masing-masing. Tepuk dada, tanyalah.... Bak kat Coach Hadi, kita perlu belajar daripada insiden yang belaku supaya menjadi iktibar. Dan ingatan dari Tuan Presiden PERDAMA juga kukuh terpahat buat bekalan nanti di perlawanan-perlawanan yang lebih besar.

Benar kami adalah lawan, seteru ketika MASUM, URI dan VBR. Namun, di bawah satu bendera kami tetap sama. Bernaung di bawah payung mahkota yang sama, menginjak di bumi yang sama dan bernafas di udara yang sama. (p/s: pinjam line PGL). Sukan Sea 2011 matlamat bersama. Sungguhpun sering berbeza pendapat, namun kami tetap berganding bahu merealisasikan matlamat.

Senarai nama atlet yang bakal dikenal pasti bagi Sukan Sea 2011 dan akan datang berada dalam simpanan. Menunggu perlaksaan program. Buat masa ini, tumpuan diberikan bagi ASIAN CUP 2010, Singapura pada 10 - 15 Jun ini.

Ayuh anak-anak dayung! Anak-anak mahasiswa! Anak-anak Malaysia! Kita terus bersaing bagi menolak diri masing-masing ke puncak jaya. Agar setaraf dengan juara-juara di luar sana.

Maju sukan ROWING!!!!

Monday, March 22, 2010

Blogging n blogging generates money

How to generates money while blogging? How to attract visitor and at the same time maintain the content integrity?

Sharing this with you, have a visit to this blog and find out.

Cara buat duit dengan blogging!

Tuesday, March 16, 2010

MASTER ROWING IN MALAYSIA - KHAS UNTUK OTAI-OTAI


Berita baik untuk pencinta-pencinta sukan mendayung. Mesyuarat jawatankuasa PERDAMA tempoh hari ada menyelitkan agenda MASTER ROWING. Menyedari ramai pendayung-pendayung tegar di luar sana sentiasa rasa terpanggil untuk kembali beraksi. Kali ini anda boleh bersaing bersama lawan yang setanding perut ke depan... hahaha.. maklumlah.. ramai yg sudah bersara. Tak kurang juga yang masih maintain stamina.

Inilah masanya anda menunjukkan bakat tanpa perlu risau akan budak2 universiti yg sudah cecah time ergo bawah tujuh minit!!! Ayuh! Kita mendayung....

CALLING FOR FARID, KEMBAR ZAIDI ZAKARIA, SHAHA, ZURIN, KOIE, AMOI INSPEKTOR, ABG TAJA, ABG MAN, AMIR & MONO DAN LAIN-LAIN LAGI...

Terbuka juga untuk sesiapa yang baru berkenalan dengan dunia dayung... Kami sedang mengumpul data dan membuat perancangan. Jadilah sebahagian dari ahli jawatankuasa penggerak acara yg akan julung2 kali diadakan ini.

COMPETITION DESCRIPTION:
The regatta’s format makes it appealing to rowers of all levels. Overall crew ranking is not determined on the basis of heats, repechages, semi-finals or finals. If entries exceed the number of racing lanes in any of the 100 or more events, as many races as necessary are added to the event, with a medal awarded to the winner of each race.

Competing against rowers of similar age is also an incentive to participate.

Age categories are as follows:
A - Minimum age 27 or more
B - Average age 36 or more
C - Average age 43 or more
D - Average age 50 or more
E - Average age 55 or more
F - Average age 60 or more
G - Average age 65 or more
H - Average age 70 or more
I - Average age 75 or more
J - Average age 80 or more

*sumber http://www.worldrowing.com/

Sunday, March 14, 2010

Student athlete

Menanam keyakinan itu bukan mudah. Tetapi percayalah adik-adik. Jelas terpampang potensi di wajah-wajah kamu semua. Betul kamu belajar. Mana mahu dikejar tugasannya. Ujian dan peperiksaan. Pembentangan projek akhir. Mana pula mahu berlatih setiap petang atau pagi. Memenuhi program yang telah diberi.

Kamu adalah pelajar! Kamu juga adalah atlet. Pelajaran kamu seiring dengan prestasi yang harus dikekalkan. Dari minit kamu bergelar atlet universiti (atau pendayung universiti), sebelah kaki kamu sudah menjejak peluang sebagai atlet kebangsaan. Sukan SEA 2011 makin hampir. Tiada yang mustahil. Siapa jua layak asal usahanya setimpal dengan hasil.

Gaya hidup kamu akan berubah mulai saat ini. Kamu bukan hanya belajar kemudian berlibur di waktu-waktu senggang. Waktu-waktu senggang kamu diubah menjadi waktu latihan. Latihan yang berat, penat dan benar-benar menuntut kesabaran. Selalu aku terserempak dengan atlet yang menyumpah-nyumpah kepenatan setelah usai melunaskan program di atas mesin ergometer. Namun, tersenyum lebar bilamana ujian 2000m menunjukkan peningkatan. Betul! Usaha pasti membuahkan hasil.

Menerima berita keputusan SPM, lebih banyak kegembiraan dari kedukaan yang saya terima. Anak-anak di Alam Shah ramai yang mencatat keputusan cemerlang. Di universiti mana agaknya kamu ditempatkan nanti. Tempatan atau luar negara?

Saya kenal seorang dua yang hatinya waja. Moga-moga saja jiwanya terus cekal dan meneruskan perjuangannya dalam sukan mendayung di peringkat universiti nanti. Lebih bebas pergerakannya dan lebih banyak peluang. Kami menanti-nanti kemunculan kamu, adik-adik. Buat cabaran baru pada abang-abang kamu di sini.

p/s: dan tiba-tiba ingatan kepada Wan Setiawan muncul kembali. Pelajar cina di sebuah sekolah menengah di Perak. Anak didik cikgu Saleh. Sanggup bekerja mencari duit tambang ke Empangan Batu, demi mengejar cita-cita sebagai pendayung kebangsaan. Coach Hadi yang seperti selalu sarat kebaikan dalam dirinya, menjemputnya di Puduraya dan melatih beliau bersama-sama Acap, Zul, Yus dan Amir.

Projek!

Aku ada satu projek penulisan. Yang semenjak dua menjak ini agak terkedek-kedek untuk dilanjutkan. Aduh!!! Dugaan betul. Aku memegang tips teman-teman. Tulis.. tulis.. dan tulis... luahkan sahaja apa yang berlegar-legar di kamar fikiran. Tulis dan terus menulis....

Ah! Apa motif tulisan ini?

Kalut..

Kabut...

Bersambung di lain waktu....

Nak jadi siapa?

Aku selalu terbantut menulis sesuatu.. yang datang dari dalam diri. Bila ayat-ayat itu sudah terbina separuh, aku berfikir beratus-ratus kali. Untuk siapa? Kerana apa? Apa agaknya pandangan orang lain, kalau aku tulis begini? Ayat ini poyokah? Ayat ini sesuaikah? Lembut sangat? Atau mungkin terlalu kasar? Jika kasar, adakah ayat-ayat ini akan membolehkan punggungku disumbatkan ke penjara? Disoal siasat ISA? Hahahaha..

Ingin jadi siapa?

Bila aku teliti blog teman-teman, aku jadi cemburu. Terpamer identiti mereka elok terpampang. Ini AKU. Bukan ORANG LAIN. Inilah AKU yang sebenar. BURUK itu AKU. BAIK itu juga dari AKU. Jujur.. jujur sekali. Iya.. aku belajar juga dari yang lain. Jadilah diri sendiri. Di samping memelihara norma-norma dan etika menulis. Kerana KAU dipertanggungjawabkan oleh penulisan mu sendiri. Tanggung sajalah buruk dan baiknya.

Seperti yang lain, aku mahu ianya memberi impak. POSITIF terutamanya. Ingin ku paparkan sifatku sebenar tetapi mungkin aku bimbangkan cacat celanya. Juga bimbang jika impian itu jika dicanang-canang, tidak menjadi. Sering juga aku diusik teman-teman, 'apa yang kau ingin buat, sebenarnya?' atau 'apa sahaja yang kau tidak pernah buat, mus?' kadang kala lebih sadis, 'macam-macam kau buat? Mana hasilnya?'

Kadang-kadang dapat juga aku menepis. Ayat biasa aku ucapkan (biasanya lebih santai dan menggunakan bahasa pasar), 'untuk merasai nikmat kejayaan, seseorang itu perlu menempuh seribu kegagalan. Kerana daripada kegagalan, aku belajar akan kesilapan. Buat pedoman menuju kejayaan.'

Namun selalu juga aku terdiam, adusss.. darah mengalir perlahan-lahan kerana tikaman lidah itu tepat menusuk jantung dan hatiku menerbitkan luka yang akan diingati sampai bila-bila.

Mohon kabus kekeliruan di pundakku ini hilang di telan panasnya cahaya suria. Agar aku percaya dan yakin dengan tulisanku sendiri. Amin....

Friday, March 12, 2010

Indera Jugra ~ Hikayat Malim Jeman Bahagian I

Tersebutlah kisah sebuah negeri
Aman dan damai tidak terperi
Rakyatnya gagah bijak bestari
Indera Jugra nama diberi

Makmurnya negeri dilimpahi rahmat
Padi menguning tak putus berkat
Emas dan perak tak cukup disukat
Hasil ternakan dihitung tak larat

Demikianlah gurindam dan syair yang dilagu-lagukan pedangang lalu yang pernah singgah di negeri Indera Jugra sebelum mereka ke destinasi utama. Kemakmuran negeri itu menjadi sebut-sebutan dan melata dari bibir ke bibir sehingga keseluruh alam maya. Ramailah pedagang-pedagang dari negeri atas angin ingin mencuba nasib dan menikmati sendiri hawa udara Indera Jugra. Bentuk muka buminya yang luas, subur dan perlabuhannya terlindung dari angin ribut kencang menjadi pilihan utama pedagang-pedagang antarabangsa untuk singgah sambil bertukar-tukar barang dagangan. Kadang-kadang terdengar juga bidalan orang, negeri Indera Jugra ini seumpama tanjung perak. Ini kerana belumlah ia dapat menandingi kemakmuran semenanjung emas yang terletak di bawah garisan khatulistiwa itu.

Adapun kemakmuran negeri itu tidaklah semata-mata kerana hasil dagangan, tanaman mahupun ternakan. Bukan juga kerana hasil buminya yang melimpah ruah. Negeri Indera Jugra lebih dikenali kerana gemar mengadakan pertandingan dan permainan bagi menunjukkan kegagahan, kekuatan dan kebijaksanaan rakyat negerinya. Ibu negeri Indera Jugra bernama Indera Batu dibina semacam kawasan luas yang lengkap dengan bongkol-bongkol batu batan ditarah rapi buat keselesaan mana-mana punggung yang berlabuh di atasnya. Batu batan itu disusun bertingkat-tingkat dan memanjang sehingga enam ratus langkah jauhnya. Di sinilah rakyat dan pendatang dari negeri luar berhimpun apabila diadakan keramaian bagi segala macam jenis permainan.

Rakyat Indera Jugra sangat terkenal dengan ketangkasan mereka menunggang kuda, memanah dan berenang.

Friday, March 5, 2010

Baca @ anywhere: VT ~ Hilal Asyraf

Menerima satu lagi bingkisan dari pos laju kiriman UjanaIlmu. Kali ini agak terlewat sedikit, tidak seperti biasa. Selalunya hari ini order, esok dah dapat. Namun masih dalam lingkungan tempoh masa 2-3 hari seperti terma & syarat jual beli. Terkilan juga bila diskaun yang ingin diberi ditarik balik gara-gara aku mohon dibuat dua kali penghantaran. Maklumlah, gaji sebulan dua kali pembayaran. Awal bulan tentunya lebih banyak keperluan.

Tetapi tidak mengapa, berkorban demi ilmu. Demi buku. Demi isinya yang nyata tidak mengecewakan. Tiada unsur cinta kepada wanita, hanya cinta pada Allah. Biasanya, penerbit buku mahukan unsur cinta dalam penulisan supaya dapat menarik pembaca. Tetapi penulis ini berjaya menerbitkan aura tersendiri tanpa perlu campur aduk dengan konflik percintaan.

Berbalik kepada isi buku ini, sarat dengan pesanan, nasihat & dakwah. Semuanya disampaikan melalui penceritaan yang diadaptasi dari kisah benar Hilal Asyraf sendiri. VT atau volleyball team memaparkan kisah sekumpulan pelajar MARTI (Maahad Attarbiyah Al-Islamiyyah, Perlis) yang kehilangan arah dan tujuan. (p/s: padanlah karya islaminya kaya dengan hadis dan petikan ayat al-quran). Hanya satu persamaan yang mengikat mereka dengan kuat. Cinta mereka pada Allah dan sukan bola tampar. Pasukan bola tampar yang mulanya sangat goyah dan lemah ikatan sepasukan akhirnya teguh berkat bimbingan jurulatihnya, Ustaz Husam a.k.a Saiful Rahman. Kejohanan peringkat negeri diburu oleh mereka.

Menerapkan unsur bahawa sukan itu ibadah, buat aku rasa kecil sekali di sisi penulis muda ini yang baru berusia 21 tahun tetapi telah menghasilkan bermacam-macam karya. Nilai-nilai yang diterapkan sudah diguna-pakai berkali-kali oleh jurulatih-jurulatih sukan lain tempatan mahupun antarabangsa. Cara bermain dengan psikologi atlet penting bagi memantapkan keyakinan & komitmen individu mahupun kumpulan. Bezanya, ikatan kuat mereka disulami dengan .....

Bacalah buku ini. Penuh dengan konflik, terhibur dengan kelucuan, menarik dengan penerangan yang jelas tentang taktikal dan kemahiran bermain bola tampar. Susun atur buku setebal 511 muka surat ini lengkap dengan gambarajah di akhir helaian.

Ziarah juga ke blog penulis: http://ms.langitilahi.com/

Tuesday, March 2, 2010

Kelakar......

Komen ibu Syafiah Humairah (anak kecil yang didera dan dibelasah sehingga mati) apabila ditanya wartawan mengenai sifat teman lelakinya, "Emmm..sebenarnya dia seorang yang kelakar....." buat aku tergolek depan tv.

Kemudian di slot TERJAH oleh Nas Ahmad, ketika isteri baru yang muda belia remaja pucuk bergetah kepada seorang artis diminta memberikan komen, kenapa si artis (yang pernah dipanggil papa ------) menjadi pilihan. Dia menjawab, "Abang.. dia seorang yang kelakar...." sekali lagi aku tergolek depan tv. Tetapi mata aku tidak lepas dari kaca televisyen itu, menanti-nanti apa ayat seterusnya..... bungkam.. tiada...

aik? Takkan itu sahaja keistimewaan seorang lelaki yang dipilih menjadi teman hidup? Takkan itu sahaja yang anda mampu gambarkan tentang pasangan hidup anda? Kelakar? Itu sahaja...

hahaha... kadangkala kita memang jujur tanpa disengajakan buat diadili oleh berjuta-juta penonton.....

Aku ketawa sambil menangis mengenangkan semua ini. Bertalu-talu ingatan aku ucapkan dalam hati. Ambillah iktibar.. ambillah iktibar... insaflah.... insaflah... kembalilah ke jalan-Nya.... kembalilah.

Monday, March 1, 2010

Sukan Mendayung di Layar Perak!!!!


Newsletter dari worldrowing diterima pagi ini. Tiada berita yang lebih mengujakan selain berita La Regate .

Khabarnya hanya diedarkan di Perancis, Belgium & Luxembourg. Untuk kita di Malaysia, terpaksalah menanti lebih lama sedikit. Saya pasti menghubungi Stefan atau Karine di Quebec bagi mengirimkan DVDnya ke Malaysia.

Sinopsis:
Cerita berkisar tentang remaja berumur 15 tahun yang berazam memenangi Belgian Rowing Championships. Namun Alex terpaksa berdepan dengan tekanan dan penderaan dari bapanya. Alex menggunakan obsesinya pada sukan mendayung untuk lari daripada realiti derita kehidupan.

Pengarah, Bernard Bellefroid.

Yang menarik mengenai filem ini:
Pelakon utamanya tidak pernah mendayung. Demi mendalami watak dan mendapatkan syot terbaik dengan teknik yang betul, pelakon ini memperuntukkan dua bulan setengah berlatih bersama pasukan kebangsaan dan jurulatihnya. Mengakui latihan yang keras dan meletihkan sangat mencabar. Di samping sentiasa mendapat kritikan daripada pendayung2 yang lain menegur tekniknya yang tidak betul.

Untuk adegan perlumbaan, mereka terpaksa mencari pendayung yang mempunyai susuk tubuh yg sama bagi mendapatkan syot terbaik.

p/s: macam pernah dengar pengalaman tu kan... huhuhu... dua bulan? makan tahun beb!

useful link:
"La Regate" website
"La Regate" trailer
"La Regate" Facebook page

Sunday, February 21, 2010

B.B.Q di Batu Dam

Malam minggu, malam pertemuan semula bekas pendayung-pendayung kebangsaan di majlis BBQ yang diadakan serentak dengan malam terakhir kem latihan sukan sea II. Hanya beberapa orang yang dapat menjelmakan diri namun cukup meriah. Gembira dengan kemunculan Amir + Mono, double scull 1998 ~ 1999. Juga Tonga, Abang nizam dll. Masing-masing punya keluarga sendiri.

Saya ternanti buah tangan Saudara Nizam dengan kameranya yang canggih. Bila agaknya akan di'posting' di facebook.

Apapun, pertemuan ini hasil usaha Head Coach, Coach Halim. Tercapai objektif pertama. Beberapa orang dinanti kemunculannya di lain hari seperti Abang Din, Farid, Kembar Zaidi & Zakaria, Abang Fuad, Shasha, Zurin, Eisya, Gee dll. Ramai lagi ditagih supaya kembali bertemu sambil mengimbau kenangan lama.

Kawan2, semoga bertemu lagi.

photo by http://amir-stepuptx.blogspot.com/

photo by http://amir-stepuptx.blogspot.com/

photo by http://amir-stepuptx.blogspot.com/

photo by http://amir-stepuptx.blogspot.com/

photo by http://amir-stepuptx.blogspot.com/

Wednesday, February 10, 2010

Kemaraan pendayung MARA

Feb-10, jam 8:40pm aku tiba di bangunan kolam renang UiTM bersebelahan Kolej Delima. Itupun bergegas aku keluar dari kelas E-commerce di Kampus Puncak Perdana yang berakhir jam 8pm. Ini adalah pertemuan kedua kami selepas ujian 500m yang aku kendalikan bersama Izwan, seorang kayakers & pelajar senior minggu lepas. Kehadiran kali ini agak kurang disebabkan sesetengah daripada pelajar terikat dengan kelas dan kuliah.

Ujian 500m minggu lepas menyaksikan keputusan yang menarik. 3 orang pelajar perempuan berjaya mencatatkan masa bawah 2 minit bagi ujian kali pertama. Fizikal mereka dengan ketinggian menunjukkan potensi besar. Begitu juga pelajar lelaki. Catatan terbaik mereka adalah 1:37.0.

Malam tadi lebih kepada penerangan tentang teknik di ergo, program dan zon latihan yang mereka harus ikuti. Sedar tak sedar mereka di minggu akhir fasa persediaan sedangkan ini adalah pertemuan kedua kami. Rombakan kecil pada program latihan perlu dibuat bagi memastikan kondisi mereka bersedia menerima beban latihan untuk fasa pra-pertandingan.

Sebelum memulakan fasa pra-pertandingan, ujian 2000m perlu dilakukan bagi mendapatkan data yang tepat. Ini penting bagi rujukan mereka mematuhi program vs zon latihan nanti.

Sungguhpun aku terikat kerana berkhidmat dengan UTM namun sebagai warga UiTM meski separuh masa, aku tidak mahu ketinggalan menyumbang. Lagipun, ini pasti menyeronokkan kerana saingan semakin sengit. Semakin di kejar, semakin jauh kita ke depan. Betul tak?

Dayung terus!!

Monday, February 8, 2010

Risik-risik

Berita UTM diangkat sebagai pusat kecemerlangan sukan air bukan satu rahsia lagi. Pembangunannya pasti sudah dirancang dengan teliti. Perlaksanaan belum kelihatan namun apabila dirisik-risik ada pergerakan yang sudah dimulakan.

Khabarnya UTM mencari calon untuk mengepalai carta organisasi baru ini. Beberapa nama sudah disenarai pendek namun calon yang sesuai nampaknya terikat dengan komitmen lain. Calon ini punya kriteria yang sempurna iaitu pengalaman pengurusan sukan, bekas atlit mendayung kebangsaan, daya kepimpinan yang tinggi dan sangat agresif. Tonggak yang tuan pengarah mahukan. Malangnya komitmen yang tersarung di jari manis mengikat kata muktamad. Mungkin ada tawar menawar di situ.

Sudah pasti tuan pengarah mahukan seseorang yang mahir selok belok kerja bersamanya, pantas bertindak dan memberikan maklum balas. Jika calon diambil bukan dari bidang sukan air, kelak bermacam pula isu yang timbul. Mengendalikan dan mengurus organisasi bagi melaksanakan perancangan memerlukan seseorang yang masak dengan asam garam sukan ini.

Kita di sini hanya mampu berdoa agar semua pihak mendapat manfaat dengan situasi menang-menang.

Intai-intai

Khabarnya juga pergerakan membentuk pasukan ke World Varsity Rowing Championship juga sudah nampak bayang-bayangnya. Macam mulut murai pula aku ni... tetapi ini perkhabaran gembira. Kita selangkah lagi maju ke depan. Pendayung-pendayung bakal ke Hungary Ogos ini? Belum ada pengesahan, sekadar khabar di angin lalu.

Bertanding di peringkat antarabangsa selalunya kurang memberikan kelebihan kerana fakor fizikal. Kecuali acara lightweight. Tetapi kita juga ada Safwan & Zulfadhli (UTHM) dengan ketinggian mereka hampir 190cm. Fizikal hampir setanding tetapi kekuatan belum dapat diukur lagi. Saya dapat lihat potensi pair (2-) open pada mereka memandangkan pair tidak menghidangkan acara lightweight untuk Mazli dan Wan.Ah! Pasti Wan & Mazlie (UTM) kecewa kerana ini adalah acara kegemaran mereka. Oh.. patutlah mereka diam-diam berlatih sculling... :p


Jom! Dayung terussss!!

Halijah dan Latissimus Dorsi

Halijah merujuk kepada doktor di klinik universiti berkenaan kesakitan yang dialami di bahagian bahu dan belakang badan. Kesakitan yang berlarutan sejak beberapa minggu nampaknya tidak dapat ditanggung lagi. Biasanya, jika kesakitan normal yang dirasakan selepas latihan akan beransur pulih dalam masa beberapa waktu.Ianya juga bukan kesakitan yang tajam, tetapi lebih kepada sengal-sengal otot akibat kesan latihan. Selalunya memberikan impak positif kepada stamina dan kekuatan.

Namun kali ini, Halijah bukan sahaja mengalami kesakitan yang berterusan. Ingin bangun dari tidur sahaja, Halijah mengambil masa 15 - 30 minit. Belum lagi dikira kelesuan. Sukar sekali untuk kembali aktif dan melakukan kerja-kerja rutin. Berkejar ke kuliah, kemudian ke unit sukan memastikan pengurusan kem latihan, melaporkan perkembangan kepada presiden kelab di KL & JB juga kepada jurulatih, bertegang urat dengan Ayahanda Tuan Pengarah Unit Sukan, menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah dan mendapatkan maklum balas ahli-ahli kelab yang bermacam ragam.Ditambah pula dengan tekanan untuk memenuhi program latihan.

Naib Presiden Kelab Mendayung ini bekerja seperti lipas kudung. Punya pengurusan waktu yang tersusun tetapi badannya kali ini tidak mahu menurut arahan otak. Badannya sudah menghantar isyarat supaya beristirehat. Juga isyarat supaya memperlahankan aktiviti. Refleks badannya tidak dapat menandingi kepantasan otaknya bekerja. dan akhirnya, isyarat jelas & tegas terus diberikan. Kesakitan pada bahu dan belakang badannya minta perhatian.

Diagnose pertama yang doktor berikan adalah kemungkinan tisu otot bahunya koyak. Muscle tear. Masih di peringkat awal. Tiada MRT atau CT scan. Hanya bersandarkan kepada pemerhatian sahaja. Surat ditulis dan ditandatangani bagi mendapatkan nasihat pakar fisioterapi di Hospital Kuala Lumpur. Halijah mendapatkan temujanji dan memaklumkan situasi tersebut kepada jurulatih. Hasilnya temujanji hanya dapat dibuat pada 24 Feb. Aduh! Kesakitan itu harus ditanggung selama waktu tersebut. Dapatkah pil dan ubat-ubatan membantu?

7 Feb - latihan yang dijadualkan sepatutnya di Taman Tasik Titiwangsa. Setibanya di sana, bukan sahaja tidak menemukan parking lot. Malahan, untuk berlari pun bakal berlanggar bahu dengan lautan manusia. Ada pertandingan memancing rupaya. Tempat latihan diubah ke Taman Rekreasi Jalan Jelatik. Walaupun tidak seluas mana, memadai untuk larian dan sedikit latihan sirkit. Halijah turut serta sebagai penonton bersama Halily (juga cedera kerana kemalangan motorsikal.. macam-macam)matahari juga sudah meninggi. Latihan selesai jam 10:30AM. Kami ke Setiawangsa membasahkan tekak di restoran mamak.

Di restoran mamak, Halijah menyembunyikan kesakitan dengan gelak ketawa. Namun sempat pula dia menyatakan hasrat untuk bercuti. Halijah tidak menyertai kem latihan minggu depan. Ingin berehat dan pulang ke kampung. Janjinya segala urusan mengenai kem latihan akan diselesaikan bersama Mazlie dan Iram Maisarah. Pantas jurulatih teringat temannya merangkap sifu fisioterapi, Tuan Shamsul Azhar di Bandar Puteri, Klang. Temujanji dengan fisio HKL masih jauh di depan sedangkan kesakitan masih menyucuk-nyucuk di bahu Halijah. Segera di dail nombor di tangan, dan alhamdulillah.. Tuan Shamsul ada kelapangan untuk merawat Halijah.

Temujanji jam 2pm. Halijah dibawa pulang bersama ke Klang. Hasil pemeriksaan, Tuan Shamsul mendapati Halijah tidaklah mengalami kecederaan serius. Terpancar kelegaan di wajah jurulatih dan Halijah sendiri. Otot belikatnya mengalami bengkak dan tulang belakangnya beralih sedikit. Bengkaknya cenderung di sebelah kiri. Rupa-rupanya
Halijah mendayung di bahagian bow sejak beberapa minggu yang lalu sedangkan dia adalah pendayung stroke. Komposisi otot dan badannya belum dapat menyesuaikan diri dengan perubahan. Ditambah pula regangan badan yang dilakukan kurang efektif.

Tuan Shamsul memberikan rawatan dengan menekan bahagian kiri badan dengan menumpukan tekanan pada bengkak tersebut sehingga ke belikat (latisimus dorsi). Sambil memberikan rawatan, Tuan Shamsul memberikan kelas percuma kepada jurulatih tentang bagaimana mengesan punca kecederaan/kesakitan dan bagaimanakan cara rawatan. Jurulatih dapat merasakan perbezaan dan bengkak yang dikatakan olehnya.

Rawatan diberikan selama sejam dan jurulatih berpeluang turut serta memberikan rawatan sebagai latihan dengan pengawasan Tuan Shamsul. Rawatan ini perlu diulang beberapa kali dan jurulatih akan memberikan sendiri rawatan susulan tersebut. Selain itu, Halijah perlu melakukan teknik senaman khusus seperti yang telah dinasihatkan oleh Tuan Shamsul.

8-Feb sms dihantar kepada Halijah bertanyakan tentang tahap pemulihan. Menurut Halijah, 80% kesakitan sudah hilang. Alhamdulillah!

Profil dan maklumat lanjut tentang fisioterapi dan urutan sukan oleh Tuan Shamsul boleh diperolehi di sini. http://www.medicmassage.net/

Bila arahan diterjemahkan....

Definisi: Mendayung merupakan sebuah olahraga yang menggunakan dayung dan berlangsung di atas sungai, danau, dan laut. Dalam teknik mendayung dengan oar hanya dikenal dua macam kayuhan yaitu dayung maju dan dayung mundur. Jika menginginkan perahu bergerak kedepan maka digunakan dayung maju sedangkan dayung mundur untuk menghentikan perahu yang sedang bergerak maju atau memang menginginkan perahu bergerak mundur. Jika ingin membelokkan perahu ke kanan maka tangan kiri mendayung maju dan tangan kanan mendayung mundur,dan sebaliknya jika ingin membelok kekiri.

p/s: Boleh guna ni! Ayuh.... anak kapal! Maju ke depan! Maju! Maju! Jangan mundur.... dayung terus!

sumber: Dari Wikipedia bahasa Indonesia, ensiklopedia bebas

Friday, February 5, 2010

‘winning in tough times, leading in tough times’

Ikon sukan rowing di peringkat antarabangsa bagi pasukan GB yang selalu dikenali adalah Sir Steven Redgrave & Matthew Pinset. Ini kerana pencapaian luar biasa Sir Steven Redgrave yang bertahan selama 5 musim olimpik sehingga diiktiraf sebagai lagenda yang masih hidup. Begitu juga dengan Matthew Pinset. Pasukan yang digeruni pihak lawan kerana penguasaannya dalam coxless four dan coxless pair. Namun jarang kita mahu ambil tahu siapa lagi krew di dalam pasukan coxless four Great Britain.


Faktor penguasaan GB dalam coxless four adalah adanya krew seperti Sir Steven Redgrave yang bertindak sebagai pemangkin pembentukan krew. Krew yang berpengalaman dan kuat banyak membantu jurulatih GB memantapkan koordinasi dan penyelarasan latihan mahupun kekuatan. Ketika Sir Steven Redgrave bersara, tugasnya di galas oleh Matthew Pinset dalam mempertahankan penguasaan GB. Seterusnya, dengan persaraan Matther, tinggal Steve William merupakan satu-satunya krew coxless four yang masih kekal. Seperti sebelumnya, Steve William menjadi tumpuan pasukannya dalam pembentukan coxless four yang baru. Beliau menjadi rujukan utama dalam pembangunan pasukan tersebut.

Baru-baru ini dalam artikel berita yang dipetik dari http://www.worldrowing.com/, Steve William menyuarakan hasrat untuk bersara dari pasukan kebangsaan. Perjalanan kariernya bukan mudah apabila pasukan coxless four yang dianggotainya melalui liku-liku sukar setelah gagal mempertahankan kejuaraan di Kejohanan Dunia (World Rowing Championship) pada 2007 yang berlansung serentak dengan pemilihan sukan Olimpik. Pasukan beliau hanya mendapat tempat keempat. Tidak berada di tempat teratas sepertimana tradisinya memberi tamparan hebat kepada pasukannya. Begitu juga tahun seterusnya 2008 dengan cabaran Sukan Olimpik Beijing yang semakin hampir ditempuhi dengan sukar. Namun, ketika di Beijing mereka berazam tiada ruang untuk kesilapan. Berada di belakang krew pasukan Australia di sepanjang perlumbaan peringkat akhir, krew Steve Wiliam mengerah seluruh tenaga. Hanya di kedudukan 250m sebelum perlumbaan berakhir, pasukannya berjaya menggandakan kuasa dayungan bagi mendahului perlumbaan sekaligus merangkul pingat emas.


William mengakhiri karier 11 tahun bersama sukan rowing dengan empat kejuaraan dunia dan dua kejuaraan Olimpik. Beliau merancang menjadi penceramah motivasi selepas persaraannya. Begitupun, beliau telah kerapkali dijemput memberikan ceramah di seminar korporat dengan tema yang sudah terkenal,‘winning in tough times, leading in tough times’.

Antara anugerah yang mengiktiraf kejayaan beliau adalah:
  1. OBE ( Order of the British Empire ) - 2008 Olympic champion 2008 in M4-

  2. FISA Male Crew of the Year - 2004 Olympic Champion 2004 in M4-

  3. MBE ( Member of the British Empire ) - 2004 Olympic champion 2004 in M4-

Biografi dan pencapaian beliau boleh di lihat di sini Perhatikan catatan masa yang direkodkan.

Institut Pendidikan Guru Malaysia Sukan (IPGM Sukan)??

Sepintas lalu aku menyemak berita online Utusan, antara tajuk utama di bahagian sukan adalah "IPGM lahir jurulatih". Barulah aku tahu akan kewujudan institusi ini. Tertanya-tanya juga adakah ianya baru, atau aku yang duduk di bawah tempurung?

Apapun, aku gembira dengan perkhabaran ini. Selangkah lagi kita ke arah melentur buluh biar dari rebungnya. Asas yang kuat datangnya dari pembangunan peringkat awal terutamanya untuk kanak-kanak. Namun sedih juga bila dibaca kenyataan ini “Seramai 320 calon jurulatih akan menjalani latihan merangkumi lapan bidang sukan bermula pertengahan tahun 2011,”. Apakah sukan-sukan lain tidak perlukan perhatian?

Sampai bila konsep membiayai pembangunan sukan teras ini akan dilaksanakan? Hanya sukan teras iaitu sukan-sukan yang pernah melahirkan jaguh-jaguh di peringkat antarabangsa. Persoalannya, adakah kita bercakap tentang isu 'antara ayam dan telur, yang mana satu dihasilkan dahulu?'. Selagi persatuan sukan tersebut tidak menghasilkan medal, tiada peruntukan khusus akan diberi. Ketika inilah menggagau persatuan sukan mencari dana. Pelbagai aktiviti direncana bagi menghidupkan aktiviti sukan itu sendiri agar sentiasa punya aliran tunai untuk menampung kos penghantaran atlet ke pertandingan dan biaya kem latihan.

Bagi sukan mendayung, sukan yang telah sekian lama tersenarai dalam sukan Olimpik dgn rekod penyertaan kontijen kedua terbesar di belakang sukan balapan/olahraga (athletic) setiap musim. Nasib sukan ini di Malaysia belum terbela sepenuhnya. Usaha gigih ramai sukarelawan yang rata-rata golongan profesional mendokong Persatuan Mendayung Malaysia (PERDAMA) menghidupkan aktiviti ini belum terbayar. Tahun demi tahun, persatuan ini membangun dalam kepayahan namun penuh kejayaan di peringkat penganjuran antarabangsa mahupun tempatan.

Begitupun, pembangunan sukan ini di peringkat universiti begitu memberangsangkan. Saingan demi saingan yang tercetus mula menghasilkan atlet berkualiti dan berbakat. Di tambah pula dengan sokongan pihak universiti masing-masing dari segi biaya latihan & peralatan. Syabas diucapkan dan semoga terus maju jaya!

Salam Dayung!

Bedar Sukma Bisu & Ilmu Pengaruh ~ Bukan Jampi Tapi Seni

Pagi ini aku menerima kiriman pos laju dari ujanailmu. Seperti biasa, perkhidmatan penghantaran yang cepat selalu menggembirakan aku. Dapat aku mengisi masa terluang dengan membaca buku-buku ini. Apatah lagi di hujung minggu.

Karya Faisal Tehrani sering mengujakan dan disorot dari pelbagai perspektif. Aku ternanti-nanti apakah sajian ceritanya kali ini akan mempengaruhi hidup dan mimpi seperti kebanyakan karyanya yang lain. Meski agak lewat, namun aku bersyukur kerana berjaya bermula kembali membaca. Aku teringat waktu zaman remaja, seringkali dimarahi ibu kerana sibuk membaca sehingga terlupa mengangkat jemuran atau menanak nasi. Hadiahnya, hehehe.. seulas cubitan di peha kadang-kadang dipulas telinga.

Kini, giliran Leonidas pula menjeruk rasa. Awal dulu aku senang hanyut ke alam sana, pasti aku terlupa seketika yang ditinggal di realiti. Beberapa kali Leo menegur, akhirnya aku akur. Aku membaca hanya apabila usai pekerjaan di rumah dan setelah memberi perhatian secukupnya pada Adam. Waktu kegemaran aku untuk membaca ketika di dalam kereta. Itulah satu-satunya waktu yang Leo berikan 100% kebebasan untuk masuk ke portal pengembaraan di dunia yang kucipta bersama pengarang. Katanya, itu lebih baik daripada aku tidur ketika dia memandu. Hehehe...

Ada juga kontranya, jika perjalanan waktu malam nah... apa yang dapat aku baca dlm gelap. Gantinya, tidur....

Oh.. satu lagi karya hidangan Syahrul Nizam Junaini, Ilmu Pengaruh ~ Bukan Jampi tapi Seni. Hiasan kulit bukunya sangat mistik dan menarik. Aku tergerak untuk membeli hasil promosi Sifu PTS di sini. Baru sahaja aku memulakan pembacaan di bab Musang, Anjing Pemburu dan Keldai. Menarik pendekatan yang digunakan. Tidak sabar untuk aku meneruskan pembacaan malam nanti sebelum beradu.

Oh! Aku teringat aku berhutang program latihan kepada Along Azhar, Kapten Rowing UTMJB. Kalau terlupa, pasti malam nanti aku akan menerima sms bertanyakan status.

Salam dayung! Ayuh! Dayung terusss....

Wednesday, February 3, 2010

Ever wanted to be on ESPN SPORTSCENTER? Here is your chance at a Dream Job!

Get a chance to land yourself a Dream Job Offer!
EVER WANTED TO BE ON ESPN SportsCenter?
AUDITION NOW!
TOP 10 commentators shortlisted by ESPN STAR Sports
will be interviewed via Skype video calling.
Winner gets to present a segment
on SportsCenter Asia.*


How to take part in the auditions:
1) Log on to http://www.starcommentator.com/
2) Get creative and Audition now!

p/s: wanna try?

Cerita Pendayung sampan

Sebuah cerita pengajaran yang aku petik dari kiriman email seorang teman. Sudah beberapa kali menerima email yang sama namun tergerak utk aku posting di sini kerana ianya menarik.

Suatu hari, seorang Professor yang sedang membuat kajian tentang lautan menumpang sebuah sampan. Pendayung sampan itu seorang tua yang begitu pendiam. Professor memang mencari pendayung sampan yang pendiam agar tidakbanyak bertanya ketika dia sedang membuat kajian. Dengan begitu tekun Professor itu membuat kajian.

Diambilnya sedikit air laut dengan tabung uji kemudian digoyang-goyang; selepas itu dia menulis sesuatu di dalam buku. Berjam-jam lamanya Professor itu membuat kajian dengan tekun sekali. Pendayung sampan itu mendongak ke langit.Berdasarkan pengalamannya dia berkata di dalam hati,"Hmm. Hari nak hujan."

"OK, semua sudah siap, mari kita balik ke darat" kata Professor itu. Pendayung sampan itu akur dan mula memusingkan sampannya ke arah pantai. Hanya dalam perjalanan pulang itu barulah Professor itu menegur pendayung sampan. "Kamu dah lama kerja mendayung sampan?

" Tanya Professor itu. "Hampir seumur hidup saya." Jawab pendayung sampan itu dgn ringkas. "Seumur hidup kamu?" Tanya Professor itu lagi. "Ya". "Jadi kamu tak tahu perkara-perkara lain selain dari mendayung sampan?" Tanya Professor itu. Pendayung sampan itu hanya menggelengkan kepalanya.

Masih tidak berpuas hati, Professor itu bertanya lagi, "Kamu tahu geografi?" Pendayung sampan itu menggelengkan kepala. "Kalau macam ni, kamu dah kehilangan 25 peratus dari usia kamu." Kata Professor itu lagi, "Kamu tahu biologi?" Pendayung sampan itu menggelengkan kepala. "Kasihan. Kamu dah kehilangan 50 peratus usia kamu. Kamu tahu fizik?" Professor itu masih lagi bertanya. Seperti tadi, pendayung sampan itu hanya menggelengkan kepala. "Kalau begini, kasihan, kamu sudah kehilangan 75 peratus dari usia kamu.

Malang sungguh nasibkamu, semuanya tak tahu.Seluruh usia kamu dihabiskan dengan mendayung sampan." Kata Professor itu dengan nada mengejek dan angkuh. Pendayung sampan itu hanya berdiam diri.

Selang beberapa minit kemudian, tiba-tiba hujan turun. Tiba-tiba saja datang ombak besar. Sampan itu dilambung ombak besar dan terbalik.Professor dan pendayung sampan terpelanting. Sempat pula pendayung sampan itu bertanya, "Kamu tahu berenang?" Professor itu menggelengkan kepala. "Kalau macam ini, kamu dah kehilangan 100 peratus nyawa kamu." Kata pendayung sampan itu sambil berenang menuju ke pantai.

Pengarang: Anonymous

Apakah pengajaran (moral of the story) yang boleh disimpulkan?

Friday, January 22, 2010

Mewujudkan Zon Junior Rowing di perimeter Batu Dam

Perbincangan bersama ayahanda presiden minggu lalu banyak berkisar tentang aktiviti tahunan pendayung UTM. Ada juga selingan bilamana isu junior dibangkitkan dan masalah kekurangan tenaga pelatih bagi merealisasikan sasaran PERDAMA.

Pantas aku memetik nama Shahir yang kini mengajar di Sg Kertas. Sepertimana perbualan terakhir kami di hari persandingannya, hasrat membawa pasukan junior disuarakan. Aku gembira menjadi orang pertama menyokong.

Visi ayahanda jelas. Setelah mewujudkan zon junior rowing di Putrajaya, dia ingin melihat junior rowing dihidupkan juga di Gombak dan Selayang yang hampir dengan pusat latihan, Batu Dam. Kekangan utama adalah tenaga pelatih. Jika ada yang dapat memberikan khidmat, pastinya perancangan teliti dituntut.

Mesej ayahanda tegas. Apa-apa juga aktiviti yang ingin menggunakan kemudahan di rumah bot, Batu Dam perlu punya sasaran, program dan rancangan terperinci di atas kertas. Kemudian, pengesahan dan kelulusan Tuan Presiden paling utama. Komitmen yang disuarakan di belakangnya tidak memberikan apa-apa erti. Sukar diukur keikhlasannya.

Lambat-lambat aku semakin mengerti kenapa pasukan elit dayung yang lama rasa dikesampingkan. Aku cuma mampu berharap agar hubungan yang keruh dapat dijernihkan. Ada kesempatan dan ada peluang, aku ingin membantu memulihkan hubungan tersebut. Meski tembok tebal masih jadi penghalang.

Hujung Minggu

Waktu yang dinanti-nanti oleh semua. Waktu berehat. Waktu santai. Waktu bahagia untuk diluangkan bersama keluarga. Menikmati sarapan bersama Leo, anak, ibu mertua dan ipar duai. Hubungan yang rapat sentiasa disulami makan-makan, ziarah-menziarahi, cuci mata di Maju Junction, Jalan TAR, Subang Parade dan Ampang Park. Kadang-kadang sesat juga ke Pavilion menyelusuri kaki lima menjeling-jeling produk berjenama bersama harganya. Pantang juga ada promosi makanan yang enak-enak di restoran terkenal, kami tidak ketinggalan mencubanya seperti Cozy Corner di Ampang Park. Atau Restoran Anjung Merah di Subang, U3.

Pun begitu, benakku masih juga memikirkan hal anak-anak dayung. Seumpama ada ruang-ruang lompong yang minta diisi. Apatah lagi apabila topik perbualan sudah bukan tarikan dan perhatian aku. Ada sahaja persoalan yang menerawang minta diperhalusi. Jika begini, bagaimana ya? Jika begitu, apa pula harus kulakukan. Setiap wajah dan setiap tingkahlaku anak-anak dayung mengisi memoriku. Walhal, minggu-minggu sebelumnya sudah ku luangkan bersama-sama mereka.

Syukur juga mertuaku seorang yang memahami. Walau dalam diam aku sedar ada protes menggunung di dalam dirinya, tetapi tidak pula dia cepat melatah. Sekali-sekala ada juga disampaikan mesejnya melalui Leo, aku cernakan dan ku terima. Selebihnya, keluarga bersikap menyokong malahan turut serta menghantar ku ke dam. Sementara aku mengajar, mereka sempat pula mencuri masa ke Genting Highland.

Aku cemburukan masa dan jarak yang memisahkan kerana aku ingin sentiasa berada bersama mereka tanpa mengabaikan keperluan keluarga. Juga tuntutan kerja dan pencarian ilmu. Leo sering juga menyindir aku yang terkejar-kejar memenuhi nafsu kerja dan cita-cita. Terlalu banyak yang kukendong katanya. Bakal cepat tua. Jangan ada yang keciciran nanti. Sindirannya kadang-kadang keras, kadang-kadang dengan seloroh. Penerimaan aku kadang-kadang membentak, kadang-kadang memujuk mohon diberi sokongan.

Aduh... mohon kekuatan!

Monday, January 11, 2010

Ha.. Ha.. Ha....

Kembali rasional.. tajuk utama kontroversi KOAM...

Ingatkan dah berpolitik bertahun-tahun, tahu cara mengendalikan tekanan. Maklumlah... dulu masa jadi menteri besar semua manis belaka. Kentut pun bau wangi. Yang bawah, yang kiri dan yang kanan dok pulun mengipas. Tiada kritikan. Tidak pernah ditegur. Boleh lupa diri sekejap.

Jangan ingat orang boleh lupa sekelip mata respon anda yang kontroversi mengalahkan artis saman berjuta-juta ringgit bekas teman lelaki VIP yang mungkir janji daripada berkahwin dengannya. Baru juga saya perasan, gambar kemesraan bersama atlet Noraseela Khalid bukti kasih-sayang terhadap anak emas tidak berbelah bagi... Ha.. Ha.. Ha...

Seketika terdetik juga rasa keinsafan di hati. Resam Melayu bila sudah berada di atas. Lagi-lagi yang berada di atas itu pula berjaya dengan memijak-mijak kepala, kaki dan badan orang lain. Kesenangan yang diperolehi dengan mudah buat manusia senang lupa diri. Malah beranggapan wang mampu membeli harga diri dan kesetiaan seseorang. Gelap pandangan, gelap pertimbangan.

Benarkah kita tidak boleh lari dari rasuah? Benarkah wang itu segala-galanya? Oh! Segala-galanya boleh dibeli dengan wang. Tetapi wang tidak boleh membeli segala-galanya.

Saturday, January 9, 2010

Ada member lepas geram.....

Mana boleh tahan kena tibai atas bawah depan belakang.... panggil media bantai balik! Salahkan MSN, salahkan pegawainya! Tuding jari ke sana.. tuding jari ke sini. Menggeletek kepanasan macam duduk atas bara api. Tapi bila tanya pasal siasatan SPRM terkunci lidah...???

"Masa dapat lebih 15 pingat emas di Korat dulu tidak pula highlight. Ini bila tidak capai target kurang 5 emas di Laos, seronok dia membantai kita."

Aku tergelak menyaksikan asam garam dunia sukan yang dipolitikkan. Menggelinjang! Siap nak ajak bertomoi.... hehehe...

Sudah-sudahlah tu....

Friday, January 8, 2010

Sudah-sudahlah tu.....

Sedari awal aku sudah tercium ketidak ikhlasan 'orang itu' menerajui beberapa persatuan sukan. Rakus! Tamak! Ada hati pula mahu merampas takhta presiden Olimpik Malaysia dari Tengku Imran.

Satu persatu masalah tersingkap sehingga kain yang dilabuhkan, daun pisang yang ditimbunkan bagi menutup bangkai tidak dapat menyembunyikan kepincangan demi kepincangan.

Berita arus perdana malam tadi 'orang itu' dikepung wartawan yang meminta penjelasan. Apatah lagi SPRM mula menghidu dan mengintai-intai. Bermula dari kes di Olimpik Beijing, masalah gangguan seksual tiada tindakan diambil. Nasib atlet olahraga terumbang-ambing tanpa jurulatih, kurang pendedahan pertandingan antarabangsa serta tiada kesefahaman antara atlit dan persatuan. Roslinda Samsu aku kira sudah lama menahan sabar dengan kerenah mereka yang di atas. Begitu juga Noraseela Khalid.

Sudah-sudahlah menunjuk pandai. Persatuan sukan bukan tempat sebagai batu loncatan ke kabinet. Yang menjadi mangsa atlet. London 2012 bukannya semakin jauh bahkan akan tiba tanpa disedari. Di mana persiapan kita? Di mana tahap atlet kita sekarang ini? Serahkan sahaja kepada yang lebih arif. Sudah-sudahlah tu......

Perlukan kamera digital....

Menulis dan menerbitkan artikel di blog ini tanpa gambar seperti masak lemak tanpa garam... seperti meneguk sirap meru (sirap suam, merahnya jernih istilah yang dipinjam dari mak anjang). Jadi mahu tidak mahu aku mesti mendapatkan kamera digital.

Mungkin juga ini alasan untuk menyedapkan hati sendiri kerana tidak konsisten menulis di blog. Sedang fikiran aku selalu berputar-putar mengelilingi hidupku. Sewajarnya ia ditumpahkan ke laman ini supaya kemahiran menulis yang tumpul dapat di asah.

Esok, kem latihan di Batu Dam pertama untuk tahun 2010. Permulaan yang agak perlahan. Manakan tidak, UTMKL sahaja yang bakal berkampung. Anak-anakku di UTMJB tidak dapat hadir kerana konflik pengurusan. Aku kira bajet menjadi hal. Presiden kelab sudah menghubungi aku memaklumkan komitmen. Mereka bilang elaun latihan bukan menjadi keutamaan. Sanggup sahaja mereka berkorban. Ada bas mereka datang. Semangat mereka untuk merampas kejuaraan di Sukan MASUM nanti daripada UTHM menjadi azam. Aduh! Terharu menyaksikan kesungguhan mereka. Tidak mengapalah anak-anak! Minggu ini terlalu suntuk untuk pengurusan pengangkutan dan penginapan. Kita usaha minggu depan, ya!

Esok juga ada temujanji dengan Tuan Syafiq dan rakan-rakan baru. Kerdil rasa diri membandingkan diri dengan mereka. Sudah aku persiapkan profail diri dan draf dijilidkan sempurna agar mudah Tuan Syafiq meneliti hasil kerjaku. Jemputan ini sudah cukup gah bagi diriku dan menolak semangatku terus tinggi supaya gigih berusaha sehingga selesai.

Adakah Januari ini dapat aku lunasi tekad dan sasaran? Insya' Allah