Hujung Minggu

Waktu yang dinanti-nanti oleh semua. Waktu berehat. Waktu santai. Waktu bahagia untuk diluangkan bersama keluarga. Menikmati sarapan bersama Leo, anak, ibu mertua dan ipar duai. Hubungan yang rapat sentiasa disulami makan-makan, ziarah-menziarahi, cuci mata di Maju Junction, Jalan TAR, Subang Parade dan Ampang Park. Kadang-kadang sesat juga ke Pavilion menyelusuri kaki lima menjeling-jeling produk berjenama bersama harganya. Pantang juga ada promosi makanan yang enak-enak di restoran terkenal, kami tidak ketinggalan mencubanya seperti Cozy Corner di Ampang Park. Atau Restoran Anjung Merah di Subang, U3.

Pun begitu, benakku masih juga memikirkan hal anak-anak dayung. Seumpama ada ruang-ruang lompong yang minta diisi. Apatah lagi apabila topik perbualan sudah bukan tarikan dan perhatian aku. Ada sahaja persoalan yang menerawang minta diperhalusi. Jika begini, bagaimana ya? Jika begitu, apa pula harus kulakukan. Setiap wajah dan setiap tingkahlaku anak-anak dayung mengisi memoriku. Walhal, minggu-minggu sebelumnya sudah ku luangkan bersama-sama mereka.

Syukur juga mertuaku seorang yang memahami. Walau dalam diam aku sedar ada protes menggunung di dalam dirinya, tetapi tidak pula dia cepat melatah. Sekali-sekala ada juga disampaikan mesejnya melalui Leo, aku cernakan dan ku terima. Selebihnya, keluarga bersikap menyokong malahan turut serta menghantar ku ke dam. Sementara aku mengajar, mereka sempat pula mencuri masa ke Genting Highland.

Aku cemburukan masa dan jarak yang memisahkan kerana aku ingin sentiasa berada bersama mereka tanpa mengabaikan keperluan keluarga. Juga tuntutan kerja dan pencarian ilmu. Leo sering juga menyindir aku yang terkejar-kejar memenuhi nafsu kerja dan cita-cita. Terlalu banyak yang kukendong katanya. Bakal cepat tua. Jangan ada yang keciciran nanti. Sindirannya kadang-kadang keras, kadang-kadang dengan seloroh. Penerimaan aku kadang-kadang membentak, kadang-kadang memujuk mohon diberi sokongan.

Aduh... mohon kekuatan!

Labels: