Mewujudkan Zon Junior Rowing di perimeter Batu Dam

Perbincangan bersama ayahanda presiden minggu lalu banyak berkisar tentang aktiviti tahunan pendayung UTM. Ada juga selingan bilamana isu junior dibangkitkan dan masalah kekurangan tenaga pelatih bagi merealisasikan sasaran PERDAMA.

Pantas aku memetik nama Shahir yang kini mengajar di Sg Kertas. Sepertimana perbualan terakhir kami di hari persandingannya, hasrat membawa pasukan junior disuarakan. Aku gembira menjadi orang pertama menyokong.

Visi ayahanda jelas. Setelah mewujudkan zon junior rowing di Putrajaya, dia ingin melihat junior rowing dihidupkan juga di Gombak dan Selayang yang hampir dengan pusat latihan, Batu Dam. Kekangan utama adalah tenaga pelatih. Jika ada yang dapat memberikan khidmat, pastinya perancangan teliti dituntut.

Mesej ayahanda tegas. Apa-apa juga aktiviti yang ingin menggunakan kemudahan di rumah bot, Batu Dam perlu punya sasaran, program dan rancangan terperinci di atas kertas. Kemudian, pengesahan dan kelulusan Tuan Presiden paling utama. Komitmen yang disuarakan di belakangnya tidak memberikan apa-apa erti. Sukar diukur keikhlasannya.

Lambat-lambat aku semakin mengerti kenapa pasukan elit dayung yang lama rasa dikesampingkan. Aku cuma mampu berharap agar hubungan yang keruh dapat dijernihkan. Ada kesempatan dan ada peluang, aku ingin membantu memulihkan hubungan tersebut. Meski tembok tebal masih jadi penghalang.

Labels: , ,