Perlukan kamera digital....

Menulis dan menerbitkan artikel di blog ini tanpa gambar seperti masak lemak tanpa garam... seperti meneguk sirap meru (sirap suam, merahnya jernih istilah yang dipinjam dari mak anjang). Jadi mahu tidak mahu aku mesti mendapatkan kamera digital.

Mungkin juga ini alasan untuk menyedapkan hati sendiri kerana tidak konsisten menulis di blog. Sedang fikiran aku selalu berputar-putar mengelilingi hidupku. Sewajarnya ia ditumpahkan ke laman ini supaya kemahiran menulis yang tumpul dapat di asah.

Esok, kem latihan di Batu Dam pertama untuk tahun 2010. Permulaan yang agak perlahan. Manakan tidak, UTMKL sahaja yang bakal berkampung. Anak-anakku di UTMJB tidak dapat hadir kerana konflik pengurusan. Aku kira bajet menjadi hal. Presiden kelab sudah menghubungi aku memaklumkan komitmen. Mereka bilang elaun latihan bukan menjadi keutamaan. Sanggup sahaja mereka berkorban. Ada bas mereka datang. Semangat mereka untuk merampas kejuaraan di Sukan MASUM nanti daripada UTHM menjadi azam. Aduh! Terharu menyaksikan kesungguhan mereka. Tidak mengapalah anak-anak! Minggu ini terlalu suntuk untuk pengurusan pengangkutan dan penginapan. Kita usaha minggu depan, ya!

Esok juga ada temujanji dengan Tuan Syafiq dan rakan-rakan baru. Kerdil rasa diri membandingkan diri dengan mereka. Sudah aku persiapkan profail diri dan draf dijilidkan sempurna agar mudah Tuan Syafiq meneliti hasil kerjaku. Jemputan ini sudah cukup gah bagi diriku dan menolak semangatku terus tinggi supaya gigih berusaha sehingga selesai.

Adakah Januari ini dapat aku lunasi tekad dan sasaran? Insya' Allah

Labels: ,