Monday, February 8, 2010

Halijah dan Latissimus Dorsi

Halijah merujuk kepada doktor di klinik universiti berkenaan kesakitan yang dialami di bahagian bahu dan belakang badan. Kesakitan yang berlarutan sejak beberapa minggu nampaknya tidak dapat ditanggung lagi. Biasanya, jika kesakitan normal yang dirasakan selepas latihan akan beransur pulih dalam masa beberapa waktu.Ianya juga bukan kesakitan yang tajam, tetapi lebih kepada sengal-sengal otot akibat kesan latihan. Selalunya memberikan impak positif kepada stamina dan kekuatan.

Namun kali ini, Halijah bukan sahaja mengalami kesakitan yang berterusan. Ingin bangun dari tidur sahaja, Halijah mengambil masa 15 - 30 minit. Belum lagi dikira kelesuan. Sukar sekali untuk kembali aktif dan melakukan kerja-kerja rutin. Berkejar ke kuliah, kemudian ke unit sukan memastikan pengurusan kem latihan, melaporkan perkembangan kepada presiden kelab di KL & JB juga kepada jurulatih, bertegang urat dengan Ayahanda Tuan Pengarah Unit Sukan, menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah dan mendapatkan maklum balas ahli-ahli kelab yang bermacam ragam.Ditambah pula dengan tekanan untuk memenuhi program latihan.

Naib Presiden Kelab Mendayung ini bekerja seperti lipas kudung. Punya pengurusan waktu yang tersusun tetapi badannya kali ini tidak mahu menurut arahan otak. Badannya sudah menghantar isyarat supaya beristirehat. Juga isyarat supaya memperlahankan aktiviti. Refleks badannya tidak dapat menandingi kepantasan otaknya bekerja. dan akhirnya, isyarat jelas & tegas terus diberikan. Kesakitan pada bahu dan belakang badannya minta perhatian.

Diagnose pertama yang doktor berikan adalah kemungkinan tisu otot bahunya koyak. Muscle tear. Masih di peringkat awal. Tiada MRT atau CT scan. Hanya bersandarkan kepada pemerhatian sahaja. Surat ditulis dan ditandatangani bagi mendapatkan nasihat pakar fisioterapi di Hospital Kuala Lumpur. Halijah mendapatkan temujanji dan memaklumkan situasi tersebut kepada jurulatih. Hasilnya temujanji hanya dapat dibuat pada 24 Feb. Aduh! Kesakitan itu harus ditanggung selama waktu tersebut. Dapatkah pil dan ubat-ubatan membantu?

7 Feb - latihan yang dijadualkan sepatutnya di Taman Tasik Titiwangsa. Setibanya di sana, bukan sahaja tidak menemukan parking lot. Malahan, untuk berlari pun bakal berlanggar bahu dengan lautan manusia. Ada pertandingan memancing rupaya. Tempat latihan diubah ke Taman Rekreasi Jalan Jelatik. Walaupun tidak seluas mana, memadai untuk larian dan sedikit latihan sirkit. Halijah turut serta sebagai penonton bersama Halily (juga cedera kerana kemalangan motorsikal.. macam-macam)matahari juga sudah meninggi. Latihan selesai jam 10:30AM. Kami ke Setiawangsa membasahkan tekak di restoran mamak.

Di restoran mamak, Halijah menyembunyikan kesakitan dengan gelak ketawa. Namun sempat pula dia menyatakan hasrat untuk bercuti. Halijah tidak menyertai kem latihan minggu depan. Ingin berehat dan pulang ke kampung. Janjinya segala urusan mengenai kem latihan akan diselesaikan bersama Mazlie dan Iram Maisarah. Pantas jurulatih teringat temannya merangkap sifu fisioterapi, Tuan Shamsul Azhar di Bandar Puteri, Klang. Temujanji dengan fisio HKL masih jauh di depan sedangkan kesakitan masih menyucuk-nyucuk di bahu Halijah. Segera di dail nombor di tangan, dan alhamdulillah.. Tuan Shamsul ada kelapangan untuk merawat Halijah.

Temujanji jam 2pm. Halijah dibawa pulang bersama ke Klang. Hasil pemeriksaan, Tuan Shamsul mendapati Halijah tidaklah mengalami kecederaan serius. Terpancar kelegaan di wajah jurulatih dan Halijah sendiri. Otot belikatnya mengalami bengkak dan tulang belakangnya beralih sedikit. Bengkaknya cenderung di sebelah kiri. Rupa-rupanya
Halijah mendayung di bahagian bow sejak beberapa minggu yang lalu sedangkan dia adalah pendayung stroke. Komposisi otot dan badannya belum dapat menyesuaikan diri dengan perubahan. Ditambah pula regangan badan yang dilakukan kurang efektif.

Tuan Shamsul memberikan rawatan dengan menekan bahagian kiri badan dengan menumpukan tekanan pada bengkak tersebut sehingga ke belikat (latisimus dorsi). Sambil memberikan rawatan, Tuan Shamsul memberikan kelas percuma kepada jurulatih tentang bagaimana mengesan punca kecederaan/kesakitan dan bagaimanakan cara rawatan. Jurulatih dapat merasakan perbezaan dan bengkak yang dikatakan olehnya.

Rawatan diberikan selama sejam dan jurulatih berpeluang turut serta memberikan rawatan sebagai latihan dengan pengawasan Tuan Shamsul. Rawatan ini perlu diulang beberapa kali dan jurulatih akan memberikan sendiri rawatan susulan tersebut. Selain itu, Halijah perlu melakukan teknik senaman khusus seperti yang telah dinasihatkan oleh Tuan Shamsul.

8-Feb sms dihantar kepada Halijah bertanyakan tentang tahap pemulihan. Menurut Halijah, 80% kesakitan sudah hilang. Alhamdulillah!

Profil dan maklumat lanjut tentang fisioterapi dan urutan sukan oleh Tuan Shamsul boleh diperolehi di sini. http://www.medicmassage.net/

No comments: