Indera Jugra ~ Hikayat Malim Jeman Bahagian I

Tersebutlah kisah sebuah negeri
Aman dan damai tidak terperi
Rakyatnya gagah bijak bestari
Indera Jugra nama diberi

Makmurnya negeri dilimpahi rahmat
Padi menguning tak putus berkat
Emas dan perak tak cukup disukat
Hasil ternakan dihitung tak larat

Demikianlah gurindam dan syair yang dilagu-lagukan pedangang lalu yang pernah singgah di negeri Indera Jugra sebelum mereka ke destinasi utama. Kemakmuran negeri itu menjadi sebut-sebutan dan melata dari bibir ke bibir sehingga keseluruh alam maya. Ramailah pedagang-pedagang dari negeri atas angin ingin mencuba nasib dan menikmati sendiri hawa udara Indera Jugra. Bentuk muka buminya yang luas, subur dan perlabuhannya terlindung dari angin ribut kencang menjadi pilihan utama pedagang-pedagang antarabangsa untuk singgah sambil bertukar-tukar barang dagangan. Kadang-kadang terdengar juga bidalan orang, negeri Indera Jugra ini seumpama tanjung perak. Ini kerana belumlah ia dapat menandingi kemakmuran semenanjung emas yang terletak di bawah garisan khatulistiwa itu.

Adapun kemakmuran negeri itu tidaklah semata-mata kerana hasil dagangan, tanaman mahupun ternakan. Bukan juga kerana hasil buminya yang melimpah ruah. Negeri Indera Jugra lebih dikenali kerana gemar mengadakan pertandingan dan permainan bagi menunjukkan kegagahan, kekuatan dan kebijaksanaan rakyat negerinya. Ibu negeri Indera Jugra bernama Indera Batu dibina semacam kawasan luas yang lengkap dengan bongkol-bongkol batu batan ditarah rapi buat keselesaan mana-mana punggung yang berlabuh di atasnya. Batu batan itu disusun bertingkat-tingkat dan memanjang sehingga enam ratus langkah jauhnya. Di sinilah rakyat dan pendatang dari negeri luar berhimpun apabila diadakan keramaian bagi segala macam jenis permainan.

Rakyat Indera Jugra sangat terkenal dengan ketangkasan mereka menunggang kuda, memanah dan berenang.

Labels: ,