Nak jadi siapa?

Aku selalu terbantut menulis sesuatu.. yang datang dari dalam diri. Bila ayat-ayat itu sudah terbina separuh, aku berfikir beratus-ratus kali. Untuk siapa? Kerana apa? Apa agaknya pandangan orang lain, kalau aku tulis begini? Ayat ini poyokah? Ayat ini sesuaikah? Lembut sangat? Atau mungkin terlalu kasar? Jika kasar, adakah ayat-ayat ini akan membolehkan punggungku disumbatkan ke penjara? Disoal siasat ISA? Hahahaha..

Ingin jadi siapa?

Bila aku teliti blog teman-teman, aku jadi cemburu. Terpamer identiti mereka elok terpampang. Ini AKU. Bukan ORANG LAIN. Inilah AKU yang sebenar. BURUK itu AKU. BAIK itu juga dari AKU. Jujur.. jujur sekali. Iya.. aku belajar juga dari yang lain. Jadilah diri sendiri. Di samping memelihara norma-norma dan etika menulis. Kerana KAU dipertanggungjawabkan oleh penulisan mu sendiri. Tanggung sajalah buruk dan baiknya.

Seperti yang lain, aku mahu ianya memberi impak. POSITIF terutamanya. Ingin ku paparkan sifatku sebenar tetapi mungkin aku bimbangkan cacat celanya. Juga bimbang jika impian itu jika dicanang-canang, tidak menjadi. Sering juga aku diusik teman-teman, 'apa yang kau ingin buat, sebenarnya?' atau 'apa sahaja yang kau tidak pernah buat, mus?' kadang kala lebih sadis, 'macam-macam kau buat? Mana hasilnya?'

Kadang-kadang dapat juga aku menepis. Ayat biasa aku ucapkan (biasanya lebih santai dan menggunakan bahasa pasar), 'untuk merasai nikmat kejayaan, seseorang itu perlu menempuh seribu kegagalan. Kerana daripada kegagalan, aku belajar akan kesilapan. Buat pedoman menuju kejayaan.'

Namun selalu juga aku terdiam, adusss.. darah mengalir perlahan-lahan kerana tikaman lidah itu tepat menusuk jantung dan hatiku menerbitkan luka yang akan diingati sampai bila-bila.

Mohon kabus kekeliruan di pundakku ini hilang di telan panasnya cahaya suria. Agar aku percaya dan yakin dengan tulisanku sendiri. Amin....

Labels: