MASUM 2010 - KEMENANGAN BERMAKNA

Segala jerih perih terbayar. Setiap titik peluh dan darah yang tumpah ke bumi terbalas. Setahun penantian berakhir dengan memanjatkan doa penuh kesyukuran. Sememangnya benar-benar memberi makna.

Sungguhpun begitu, tidak bermakna laluan selepas ini semakin mudah. Bahkan lebih getir. Semangat yang meruntun jatuh berkeping-keping pasti akan bangkit semula sepertimana yang berlaku ke atas kami. Setelah sekian lama di pundak kejayaan, dijatuhkan dalam sekelip mata. Kekalahan menjadi pengajaran yang cukup berkesan tika itu. Sukarnya untuk kembali merampas apa yang terlepas dari tangan. Melihatkan fizikal lawan, siang-siang mental anak-anak sudah goyah.

Untung kami punya jurulatih yang tidak jemu-jemu mendokong. Coach Hadi begitu tekun memastikan anak-anak punya peluang, punya ruang. Sedikit demi sedikit tembok pertahanan dibina bagi mengatasi segala ketidakyakinan. Maklumlah, jurulatih separuh masa. Kami saling sandar-menyandar dan membantu setakat yang mampu. Untung anak-anak dayung ini memang sudah berdikari. Punya kapten dan presiden yang sentiasa berusaha memastikan program yang direncana dilaksanakan sebaik mungkin. Tidak lupa juga ibu-ibu kecil yang kuat berleter menguruskan teman-temannya.

Satu pengalaman baru setiap kali kejohanan seperti ini. Selalu ada kejutan. Saingan kini tidak hanya didominasi antara dua universiti sahaja iaitu UTM & UTHM. UIA sudah mula menunjukkan taring dengan menjulang emas bagi acara M4+. Srikandi UMS juga kian menyerlah walaupun jurulatihnya selalu khuatir akan emosi atlet wanitanya. UNITEN juga punya fizikal yang mantap. UDM juga menunjukkan potensi di awal pembabitan dengan segala peralatan baru.USM juga bikin goyang.

UiTM pula membariskan atlet yang punya stamina tinggi. Rata-rata atlet adalah anggota PALAPES. Saya menjangkakan mereka semua berupaya ke peringkat akhir. Namun hanya acara M4+ yang melepasi jangkaan. Ternyata, mereka belum cukup pengalaman dalam perlumbaan di samping kekurangan peralatan berbanding universiti lain. Masih menggunakan macon blade untuk berlumba.

Ada drama yang menarik ketika perlumbaan. Apabila M8+ UTM dan UTHM sah masuk ke kumpulan semi final yang bakal diisi oleh 2 lagi universiti. Universiti-universiti lain berusaha mengelak daripada bertembung dengan 2 ekor gergasi ini. Ketika perlawanan repearcharge, UM dan UNITEN mendayung bahu ke bahu enggan menamatkan perlumbaan di tempat pertama. Kerana kedudukan pertama repearchage akan bertemu UTM & UTHM sekaligus peluang nipis ke peringkat akhir. Kamu patut lihat gelagat mereka di finishing line. Sungguh melucukan.

Ada satu pasukan yang membuat diri saya sangat kagum. USIM. Universiti Sains Islam Malaysia. Pencapaian mereka sederhana. Jarang berjaya ke final. Namun mereka tidak pernah patah semangat mengambil bahagian. Saban tahun mereka hadir dan memberikan saingan. Sayang, mereka tidak punya jurulatih yang dapat membantu meningkatkan prestasi. Insya' Allah, jika ada ruang dan waktu kami akan membantu pasukan ini. Selama universiti-universiti lain berlatih di empangan batu, tidak ada istilah kedekut ilmu. Atlet-atlet yang berpengalaman rajin memberikan tunjuk ajar dan dorongan. Tanyalah UIA. Di samping jurulatih Acap, atlet-atlet lama tidak lokek berkongsi pengalaman kerana kagum dengan kesungguhan mereka turun berlatih lebih awal.

UTHM, satu pasukan yang tetap digeruni semalam, kini dan masa depan. Kesal juga bila mengetahui tentang ayat "menghina profesionalisme pengadil dan juri pertandingan?" Namun memahami keinginan untuk menang yang kuat itu boleh menerbitkan unsur-unsur emosi yang kurang disenangi. Inilah pelajaran yang kami dapat. Bahawa ada perkara berlaku di dalam kawalan kita. Ada juga perkara yang berlaku di luar kawalan. Cara mana kita mengendalikannya, terpulang pada budi bicara masing-masing. Tepuk dada, tanyalah.... Bak kat Coach Hadi, kita perlu belajar daripada insiden yang belaku supaya menjadi iktibar. Dan ingatan dari Tuan Presiden PERDAMA juga kukuh terpahat buat bekalan nanti di perlawanan-perlawanan yang lebih besar.

Benar kami adalah lawan, seteru ketika MASUM, URI dan VBR. Namun, di bawah satu bendera kami tetap sama. Bernaung di bawah payung mahkota yang sama, menginjak di bumi yang sama dan bernafas di udara yang sama. (p/s: pinjam line PGL). Sukan Sea 2011 matlamat bersama. Sungguhpun sering berbeza pendapat, namun kami tetap berganding bahu merealisasikan matlamat.

Senarai nama atlet yang bakal dikenal pasti bagi Sukan Sea 2011 dan akan datang berada dalam simpanan. Menunggu perlaksaan program. Buat masa ini, tumpuan diberikan bagi ASIAN CUP 2010, Singapura pada 10 - 15 Jun ini.

Ayuh anak-anak dayung! Anak-anak mahasiswa! Anak-anak Malaysia! Kita terus bersaing bagi menolak diri masing-masing ke puncak jaya. Agar setaraf dengan juara-juara di luar sana.

Maju sukan ROWING!!!!

Labels: , ,